Bajet 2015 Bantu Tangani Kos Sara Hidup Rakyat – Menteri Kewangan


Bajet 2015 Bantu Tangani Kos Sara Hidup Rakyat – Menteri Kewangan | Kerajaan memberi tumpuan serius dalam membantu menambah pendapatan rakyat yang kini berdepan peningkatan kos sara hidup.
    
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Dr Ahmad Husni Hanadzlah berkata, perkara itu antara 30 inisiatif kerajaan dalam Bajet 2015, yang akan dibentang pada 10 Oktober ini dalam usaha membantu rakyat mengatasi peningkatan kos sara hidup.
    
Beliau berkata kerajaan dijangka mengumumkan peningkatan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selain memastikan peningkatan perbekalan barangan makanan dan pengurangan peranan orang tengah.
    
“Bila cakap kos hidup ini, ia sepadan antara permintaan dan perbekalan, jadi kita akan pastikan perbekalan terutama barangan makanan meningkat dan kita telah berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagaimana hendak meningkatkan bekalan makanan termasuk ikan.
    
“Contohnya, dalam bajet ini kita mahu ikan dalam sangkar ditambah berbanding ikan di dalam laut dan keduanya, kita melihat kepada rantaian bekalan bagi mengurangkan peranan orang tengah.
    
“Jadi kita mahu agensi terlibat seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan sebagainya akan memainkan peranan penting,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lipis di sini hari ini.
    
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Kuala Lipis Datuk Abdul Rahman Mohamad, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benta, Datuk Mohd Soffi Abd Razak dan Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.
    
Ahmad Husni juga berkata bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) akan menyaksikan jumlah peruntukan yang lebih besar khususnya membabitkan perbelanjaan pembangunan.
    
Beliau berkata pada masa ini, kerajaan di peringkat akhir melihat sentuhan utama yang akan dimasukkan dalam Bajet 2015, terutama perkara menyentuh kesejahteraan rakyat.
    
Bajet kali ini juga, katanya, memfokus kepada cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksana pada April 2015.
    
Sementara itu, mengulas persediaan pelaksanaan GST, Ahmad Husni berkata pihaknya menyasarkan lebih 123,000 syarikat mendaftar menjelang penghujung tahun ini. – Bernama

Sumber : Sinar
-
end 12 ogos 2014, fb azam sahar
-
*Pihak Drama Raja TIDAK akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang menyakiti mana-mana individu atau badan berorganisasi. Kepada para pembaca, diharapkan agar anda dapat memberikan komentar dengan baik dan tidak menggunakan kata-kata kesat. Segala kerjasama anda amatlah kami hargai demi menjaga kemurnian akhlak dan keharmonian blog ini. Sekian. -admin-

0 Response to "Bajet 2015 Bantu Tangani Kos Sara Hidup Rakyat – Menteri Kewangan"

Post a Comment