Mutiara Cinta


Mutiara Cinta | Cinta dan kasih sayang adalah jiwa yang tidak dapat dipisahkan. Cinta yang datang dari ketulusan hati akan menjadi sejati sekiranya cinta itu adalah cinta yang halal, cinta yang dapat keredhaan Allah S.W.T dan mudah-mudahan dapat kekal bahagia selamanya.

Soal cinta adalah soal hati. Ia juga soal jodoh. Kita sebagai manusia hanya merancang tetapi Allah S.W.T yang menentukannya kerana Dia lah Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.

Jodoh Di Ketentuan Tuhan
Sebuah hadis ada menyebut:

لاَ يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلاَّ دُعَاءٌ

“Tidak ada yang dapat menolak ketentuan Tuhan kecuali doa”

Usaha kita dalam mencari jodoh perlulah bersandarkan kepada iman dan diiringi dengan doa yang berpanjangan. Berdoalah banyak-banyak dengan bersungguh-sungguh kerana mengharapkan rahmat daripada Allah agar insan yang kita pilih itu dijodohkan dengan kita. Jangan sekali-kali kita berputus asa daripada rahmat Allah sebaliknya, sandarkan lah perjalanan hidup kita kepada ketentuan Qada’ dan Qadar, iaitu takdir yang baik mahupun yang buruk. Itu adalah syarat pertama jikalau kita mahu mencari pasangan hidup, dengan tujuan kerana ingin mendapatkan keredhaan-Nya. Jika kita hanya mencari pasangan kerana terikut-ikutkan keadaan semasa di sekeliling kita atau hanya kerana suka-suka, nescaya tujuan kita itu tidak disandarkan kepada iman sepenuhnya dan nescaya hati kita akan gundah-gulana dan bagaikan dirobek apabila pilihan di hati tidak menjadi kenyataan.

Cinta Monyet

Adakah kamu pernah merasai cinta ini? Tidak? Serius ke? Alhamdulillah sekiranya begitu tetapi jika pernah, apa perasaan kamu? Menyesal? Tidak mahu mengungkit sejarah hitam. Kalau boleh, mahu campak sejauh-jauhnya. Gali tanah sebatu-batu dalamnya dan tanam dalam hutan dimensi lain supaya tiada sesiapa tahu, kan?

“ Couple ”… Hobi paling popular pada abad 21 ini terutamanya sekali di kalangan remaja. Ya! Kamu wahai para remaja. Tidak perlu bermuka-muka “ innocent ” di sana. Berkasih sayang tanpa segan silu. Subhanaallah!

Permulaan cinta monyet dan pemikiran orang muda pada masa itu adalah seperti berikut :

1. Berkenalan, bersenyum, berlawan mata, lirikan mata yang mengodakan.

“ Awek cun, seksi, pasti akan aku tarik! ” pemikiran kaum Adam.

“ Boleh tahan mamat ni. Hemsem! Apa nama dia ya? ” pemikiran kaum Hawa.

2. Berpegang-pegangan, berdua-duaan.

“ Oh, rileks lah! Manja sikit-sikit apa salahnya. ” pemikiran kaum Adam.

“ Erm, tak ape kot. Asalkan dia gembira, aku tak kisah. ” pemikiran kaum Hawa.

Ini baru permulaan. Kemudian, saudara-saudari sekalian pasti tahu apa yang seterusnya. Tanpa perasaan takut pada Tuhan, ramai yang terjerumus ke dalam sarang cinta yang membisa kalah bisa lebah!

Persepsi kebanyakkan remaja hari ini mengenai “ couple ” adalah adalah satu budaya yang menjadi kewajipan. Tanpa “ couple ”, seseorang itu dianggap kolot atau tiada sesiapa sudi dengan dia kerana tidak mahu bersosial dan sebagainya. Tiada satu ayat dalam Al-Quran yang mengatakan “ couple ” itu wajib!

“ Couple ” itu HARAM!

Dalil yang menentang hubungan percintaan ini terdapat dalam Surah Al-Israa’(17) ayat 32:

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

Dalam hadis, baginda Rasulullah telah memperincikan jenis-jenis zina.

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda:

“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti.”

Bak kata pepatah “ sudah terang lagi nak bersuluh ”.

Cinta Hakiki

Macam pernah dengar tapi di mana ya?

Cintakan Allah cinta sebenarnya Itulah cinta yang sejati Kasihlah sesama manusia Kerna cinta yang hakiki Hanya untuk Tuhan Yang Esa

Cintakan Allah tiada kecewa Engkaukan tenang di waktu susah Kembalilah kepada Tuhan Dia kan tetap menanti

Kehadiran hambaNya Yang sebenar pasrah Cinta kasih sayangNya tidak bertepi

- Sebahagian Lirik Lagu “ Cinta Hakiki ” oleh Raihan -

Bagaimanapun, cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri seperti:

1. Cinta kepada Allah

Tanpa cinta kepada Allah, perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti, sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan mencintai Allah.

Firman Allah s.w.t:

“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain daripada Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah…” (Surah Al-Baqarah : 165)

2. Cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan Para Anbia´

Ketika manusia berada di dalam kegelapan, maka diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah s.a.w.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, ada disebut:

“Diriwayatkan daripada Anas r.a, katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.” (Bukhari: no. 15, Muslim no. 60, Tirmizi: no. 2548, Nasaie: no. 4901)

3. Cinta Sesama Mukmin

Perasaan kasih sayang sesama manusia merupakan tunggak utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan. Cinta inilah yang mengajar kita supaya mencintai ibu bapa dan keluarga. Selain daripada cinta kepada kedua-dua ibu bapa, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah s.a.w.

Maksud firman Allah s.w.t:

“… Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)…” (Surah Al-Fath: 29)

Syurga Cinta

Pernah dengar perkataan ini? Tajuk filem yang dilakonkan Heliza dan Awal, kan? Sudah pastinya anda salah seorang yang jiwang! Air mata bertimba-timba menitis.

Seperti yang kamu tahu, terdapat tiga jenis jodoh. Ya! Betul jawapan saudara-saudari itu! 1. Jodoh daripada syaitan Si gadis berkenalan dengan si jejaka berpegang tangan kemudian melakukan maksiat. Si gadis itu mengandung lalu bernikah dengan si jejaka itu. 2. Jodoh daripada jin Si jejaka berkenalan dengan si gadis dan dia menyukai si gadis itu tetapi bertepuk sebelah tangan. Si gadis itu dibomoh dan disihirkan lalu bernikah dengan si jejaka itu. 3. Jodoh daripada Allah Cinta berputik antara si gadis dan si jejaka. Si jejaka masuk meminang lalu bernikah dengan si gadis itu.

Jodoh daripada Allah, itu lah dinamakan SYURGA CINTA.

Nikah itu umpama mendirikan masjid. Ingat wahai muslimin dan muslimat sekalian!

“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.” (Surah An-Nuur, 27)

Jika kaum Adam ini benar-benar mencintaimu. Dia tidak akan pernah menyentuhmu walaupun sedikit sebelum bernikah kerana dia terlalu menjaga maruahmu dan ingin menikahimu secara halal wahai kaum Hawa dan ini barulah dinamakan cinta sejati.

Cinta Tuhan itu juga yang dipinjamkan kepada hati kamu. Jadi, elok sangatlah sekiranya kamu dahulukan cinta Tuhan dan pasti kamu tidak akan kecewa. Malah cinta manusia juga yang akan menyusul ataupun mungkin sahaja kamu boleh menjadi seperti Rabiatul Adawiyah.

-
end 12 ogos 2014, fb azam sahar
-
*Pihak Drama Raja TIDAK akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang menyakiti mana-mana individu atau badan berorganisasi. Kepada para pembaca, diharapkan agar anda dapat memberikan komentar dengan baik dan tidak menggunakan kata-kata kesat. Segala kerjasama anda amatlah kami hargai demi menjaga kemurnian akhlak dan keharmonian blog ini. Sekian. -admin-

0 Response to "Mutiara Cinta"

Post a Comment