Gila-gila Remaja Oleh: Omar Marzuki

                                                                (Gambar Hiasan)

Gila-gila Remaja Oleh: Omar Marzuki | Dunia remaja memang dunia yang sukar difahami. Dibandingkan dengan tahap perkembangan lain, remaja memiliki karektor yang unik dan sensitif. Tentunya dalam batasan usia antara 10-24 tahun, remaja mengalami proses peralihan dari kanak-kanak menuju alam dewasa. Perubahan hormon yang terjadi  memberikan pengaruh yang besar terhadap perubahan fizikal, emosi serta sosial yang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh persekitarannya. Salah satu karektor remaja yang selalu menjadi masalah adalah proses pencarian identiti diri. Remaja sentiasa dituntut oleh masyarakat untuk dapat menjelaskan siapakah diri mereka, apakah peranan dan makna dirinya pada masyarakat. Sedangkan dalam masa yang sama mereka memiliki keinginan untuk berbeza daripada orang lain, sehingga akibat daripada itu mereka berusaha menampilkan diri mereka agar menarik perhatian masyarakat. Kebingungan yang dialami oleh remaja dalam menentukan siapakah diri mereka inilah sebenarnya merupakan punca terjadinya penyimpangan dalam kehidupan remaja.

Jika remaja bertanya pada diri mereka sendiri: "Who am I?" maka pertanyaan itu tidak pernah akan terjawab dengan pasti. Yang ada dalam fikiran hanyalah "I wanna be like him" atau "I don't know who I am". Lantaran itu remaja mencari model yang diidolakan mereka. Semakin mereka mengadaptasikan diri mereka pada idola mereka, mereka akan semakin kehilangan identiti diri dan menjadi tidak asli lagi. Sehingga ketika mereka berkata "It's my life", padahal hati mereka tetap berdilema "Is it my life?".

Sebenarnya terdapat banyak ciri yang mengidentitikan seseorang atau sekelompok remaja itu sebagai ‘gila-gila remaja’. Segolongan daripada mereka berseluar ketat, hidung dan telinga bertindik (termasuk lelaki), tato penuh dilengan, model rambut yang mohawk serta bergaya ala punk. Manakala sebahagian lain pula bergaya casual, hip-hop, free style bahkan retro dengan potongan rambut pendek seperti lelaki. Mereka ini mahu supaya masyarakat melihat mereka sebagai remaja padahal hal itu belum tentu sesuai dengan jati diri mereka.

Kesilapan dalam menentukan langkah memberi kesan yang pelbagai pada diri remaja hingga ada yang rela mengorbankan tubuhnya untuk diracuni oleh berbagai jenis dadah termasuk pil estacy dan sebagainya. Awalnya hanya sedikit-sedikit tetapi akhirnya terlebih dos. Namun itulah kata mereka bahawa “gaya hidup seperti itu adalah gaya hidup remaja masa kini. Jangan sampai ketinggalan zaman!” Dengan itu potongan baju dan ‘style’ rambut disesuaikan dengan mode terkini, bahkan gaya hidup selebriti ditiru. Free sex mewarnai kehidupan mereka, check in hotel, chalet atau mana-mana tempat yang dirasakan selesa melakukan projek. Demikianlah kenyataannya kehidupan anak-anak remaja zaman sekarang. Semuanya adalah refleksi kehidupan remaja yang mengaku mempunyai kehidupan moden. "It's my life".

Realiti yang jelas pada hari ini, isu golongan remaja ternyata telah mendapat perhatian serius daripada masyarakat dunia dan secara keseluruhannya kita semua sudah maklum akan kecelaruan hidup mereka yang sebenarnya mahukan kebebasan. Tetapi kebebasan yang mereka pertontonkan kepada masyarakat bukanlah dalam ertikata kebebasan yang positif dan memberi manfaat untuk semua atau pun diri mereka sendiri malah kebebasan itu merosakkan maruah diri, bangsa, agama dan negara. Mereka sebenarnya terpenjara oleh hawa nafsu yang dikawal ketat oleh warder-warder penjara berupa syaitan yang sentiasa menjadi pujaan mereka.  Oleh itu adalah penting untuk diperbetulkan gaya hidup remaja sebegini yang semakin hari semakin sesat dan melampui batas. PBB sendiri telah menetapkan satu hari khusus untuk remaja yang dinamakan International Youth Day. Idea ini dicetuskan oleh General Assembly PBB pada tahun 1999 dan menetapkan bahawa tanggal 12 Ogos merupakan hari remaja sedunia. Ia merupakan hari bagi mengingatkan para remaja sedunia agar melihat kembali jati diri mereka yang sebenarnya dan mengenalpasti siapakah diri mereka dalam menentukan kehidupan selanjutnya. Menurut kajian yang dibuat oleh  PBB juga, sekarang ini jumlah golongan remaja di bawah umur 25 tahun telah mencapai hampir separuh dari populasi dunia. Maka jika gejala sosial golongan remaja ini tidak dibendung secepat mungkin dibimbangi suatu hari kelak manusia akan menuju kehancuran dan bersifat kehaiwanan justeru hilangnya sifat kemanusiaan yang diamanahkan memikul tanggungjawab selaku khalifah Allah di muka bumi ini. 

Maka bagaimana dengan kesudahan remaja kita sekarang ini? Jika diperhatikan, hakikatnya remaja yang ada di sekitar kita, keadaannya masih jauh dari apa yang diharapkan. Hanya sebilangan kecil yang boleh diletakkan harapan sedangkan sebahagian besarnya pula amat membimbangkan. Kedapatannya mereka gagal berfikiran rasional sehingga terjebak dan ketagih dengan pelbagai trend yang langsung tidak bermanfaat. Para remaja kita lemas dengan kesenangan hidup dan tidak begitu gemar menghadapi cabaran. Hanya dengan sedikit cubaan hidup yang melanda, mereka terus hilang pedoman, jiwa rasa tertekan lantas terus memberontak. Tidak sedikit daripada para remaja seperti ini hilang arah, terus lari dari rumah, membunuh diri dan sebagainya. Mereka tidak biasa menghadapi situasi gawat seperti peperangan dan lain-lain. Oleh sebab itu kehidupan mereka sentiasa inginkan keseronokan dan dilimpahi kemewahan. Tiada apa yang boleh menghalang mereka daripada mengikut arus peredaran dunia semasa terutama sekali yang datang dari benua barat kerana itulah yang dianggap paling sensasi dan bergaya.

Memang tidak dinafikan bahawa golongan remaja juga sebenarnya berhak memilih cara hidup mereka sendiri terutama dalam mencari erti kebebasan. Namun dalam hal ini, setiap kegiatan remaja mestilah diawasi biar sesuai dengan situasi dan keadaan masyarakat setempat yang mempunyai adat dan budaya. Apatah lagi dalam sebuah negara yang memperjuangkan prinsip Islam Hadhari. Tentu sekali kita tidak mahu lagi mendengar isu berkenaan tindakan pihak JAWI yang menangkap segolongan remaja di sebuah disko terkemuka di ibu kota dengan kata mereka "Sedangkan ibu bapa kami tidak menghalang kami untuk berhibur, kenapa pula orang lain seperti JAWI sibuk-sibuk untuk menjaga kami?” Apa yang menyedihkan, remaja seperti ini menganggap hak dan kebebasan mereka tidak perlu disekat oleh sesiapa sahaja waima pihak J

Kesimpulannya para remaja sekarang telah lupa siapakah diri mereka? Mereka lupa bahawa mereka orang Islam! Mereka lupa bahawa mereka ada agama! Mereka lupa bahawa mereka adalah generasi pelapis pemimpin akan datang. Jika mereka rosak maka rosaklah generasi seterusnya. Remaja kita lupa bersyukur! Akibat lupa dan alpa inilah mereka memilih gaya hidup bebas seperti orang tidak beragama padahal setiap agama itu mengarahkan penganutnya ke arah kebaikan.

Maka selaras dengan dasar kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai Islam Hadhari kepada rakyat Malaysia, cubalah kita fikirkan adakah kita harus membiarkan rakan-rakan remaja kita seperti ini terus hanyut begitu sahaja. Atau dengan perkataan lain kita biarkan apa jua pilihan mereka dan apa pun yang dilakukan oleh mereka, kerana baik buruknya akan mereka tanggung sendiri. Sebenarnya dalam keadaan ini kita juga menanggung dosa sekalipun kita tidak terlibat melakukannya. Inilah prinsip persaudaraan di dalam Islam iaitu saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Setiap orang wajib mencegah kemungkaran yang berlaku walau dengan apa cara sekalipun selagi mampu. Maka dalam hal ini nasihatilah rakan sebaya kita agar mereka kembali ke pangkal jalan kerana apa gunanya kawan jika sanggup senang bersama, susah sendiri. Pimpinlah mereka ke pangkal jalan kerana Allah telah berjanji bahawa kebenaran itu akan menang menewaskan kebatilan. Oleh itu bertindak pantaslah, jangan dibutakan mata dan dipekakkan telinga!

-
end 12 ogos 2014, fb azam sahar
-
*Pihak Drama Raja TIDAK akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang menyakiti mana-mana individu atau badan berorganisasi. Kepada para pembaca, diharapkan agar anda dapat memberikan komentar dengan baik dan tidak menggunakan kata-kata kesat. Segala kerjasama anda amatlah kami hargai demi menjaga kemurnian akhlak dan keharmonian blog ini. Sekian. -admin-

0 Response to "Gila-gila Remaja Oleh: Omar Marzuki"

Post a Comment