Bendera Malaysia - Jalur Gemilang


Bendera Malaysia - Jalur Gemilang | 14 Jalur Merah dan Putih, Bendera Malaysia dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Wilayah Persekutuan. 

Biru Tua
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia.

Anak Bulan
Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi bagi Persekutuan (Malaysia seperti yang telah tertakluk dibawah Perlembagaan Negara Malaysia).

Bintang Pecah 14
Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Warna Kuning
Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Sejarah Bendera Malaysia
("Permulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baru.

Untuk tujuan itu satu pertandingan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur merah dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Keputusan pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah disiarkan pada 29 November 1949. Keputusan akhir menunjukkan majoriti telah memilih rekabentuk ciptaan seorang arkitek kerajaan di Johor iaitu En. Mohamad bin Hamzah.")

Jalur Gemilang

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Dris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Jalur

Menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

Gemilang

Bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

-
end 12 ogos 2014, fb azam sahar
-
*Pihak Drama Raja TIDAK akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang menyakiti mana-mana individu atau badan berorganisasi. Kepada para pembaca, diharapkan agar anda dapat memberikan komentar dengan baik dan tidak menggunakan kata-kata kesat. Segala kerjasama anda amatlah kami hargai demi menjaga kemurnian akhlak dan keharmonian blog ini. Sekian. -admin-

0 Response to " Bendera Malaysia - Jalur Gemilang"

Post a Comment