Laporan Siasatan Awal MH17 Dikeluarkan 9 September Ini


Laporan Siasatan Awal MH17 Dikeluarkan 9 September Ini | KUALA LUMPUR - Lembaga Keselamatan Belanda akan mengeluarkan laporan siasatan awal berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 pada 9 September. 

Lembaga itu berkata laporan awal itu boleh diperoleh melalui laman webnya, www.safetyboard.nl pada 10 pagi waktu Amsterdam. 

"Laporan awal itu akan membentangkan maklumat sebenar berdasarkan sumber yang ada dengan Lembaga Keselamatan Belanda. 

"Dalam bulan-bulan yang akan datang, siasatan seterusnya diperlukan sebelum laporan muktamad boleh ditulis. Lembaga Keselamatan Belanda menjangka untuk menerbitkan laporan muktamad itu dalam masa setahun selepas kejadian itu," kata lembaga itu dalam kenyataan dalam laman webnya hari ini. 

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, laporan awal mengenai tragedi itu akan dibentangkan bulan ini oleh jawatankuasa penyiasatan yang berpangkalan di Belanda. 

Tiong Lai berkata, laporan itu penting bagi memberi panduan untuk siasatan lebih mendalam terutama punca sebenar tragedi itu yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal pesawat terbabit. 

"Hanya akan ada satu laporan iaitu daripada jawatankuasa penyiasatan yang kita anggotai, tiada laporan berasingan akan dikeluarkan oleh Malaysia atau negara lain yang terlibat," katanya. 

Penerbangan MH17 yang sedang dalam penjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai. 

Selain warganegara Malaysia, pesawat itu juga membawa warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. - Bernama


-
end 12 ogos 2014, fb azam sahar
-
*Pihak Drama Raja TIDAK akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang menyakiti mana-mana individu atau badan berorganisasi. Kepada para pembaca, diharapkan agar anda dapat memberikan komentar dengan baik dan tidak menggunakan kata-kata kesat. Segala kerjasama anda amatlah kami hargai demi menjaga kemurnian akhlak dan keharmonian blog ini. Sekian. -admin-

0 Response to "Laporan Siasatan Awal MH17 Dikeluarkan 9 September Ini"

Post a Comment