Sifat Tamak Manusia


Sifat Tamak Manusia | Dalam diri manusia ada sifat baik dan buruk. Sifat baik dipacu rasa keimanan, ketakwaan dan kemanusiaan, manakala sifat buruk didorong nafsu buruk, sifat kebinatangan, kejahilan dan ingkar perintah.

Sifat baik dan buruk saling bertentangan mempengaruhi antara satu sama lain untuk lebih menguasai corak kehidupan seseorang. Jika iman dan takwa lebih berkuasa, maka aman hidup seseorang daripada pengaruh sifat buruk yang didalangi syaitan.

Sifat tamak adalah salah satu sifat buruk, yang wujud secara bersama dengan sifat buruk lain seperti angkuh, cintakan dunia, kedekut, pecah amanah dan iri hati. Ia berlawanan dengan sifat bersyukur, ikhlas, pemurah, rendah diri dan jujur.

Orang tamak meletakkan usaha mencari habuan dunia mengatasi mencari bekalan untuk hari akhirat. Bahkan, individu berkenaan sanggup melakukan apa saja asalkan matlamatnya tercapai, biarpun perbuatan itu bertentangan dengan syariat.

Tidak dinafikan harta dan kedudukan adalah keperluan hidup. Keteguhan, kestabilan dan taraf hidup seseorang lazimnya diukur berdasarkan sebanyak mana harta yang dimiliki dan kedudukan darjat dalam masyarakat. Keharmonian, kerukunan dan kebahagiaan sesebuah rumah tangga juga banyak dipengaruhi harta.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya mencari harta dan kedudukan yang baik dalam masyarakat. Sekiranya usaha itu dilakukan dengan ikhlas menepati tuntutan syariat, maka ia juga termasuk dalam kategori ibadah. Individu yang melakukan amanah itu beroleh keuntungan di dunia dan akhirat sekali gus.

Sebaliknya, sikap tamak meletakkan urusan mencari kekayaan dan kedudukan dengan jalan keterlaluan dan terdorong melakukan perbuatan salah. Orang tamak sentiasa tidak puas dan cukup apa dimiliki. Sikap terlalu cintakan kebendaan dan kemewahan mendorong perasaan untuk memiliki semua apa yang ada di dunia ini.

Orang tamak sentiasa lapar dan dahaga kehidupan dunia. Makin banyak yang diperoleh dan menjadi miliknya, semakin rasa lapar dan dahaga untuk mendapatkan lebih banyak lagi. Jadi, mereka sebenarnya tidak dapat menikmati kebaikan daripada apa yang dimiliki, sebaliknya menjadi satu bebanan hidup.

Lanjutan itu, kehidupan seharian hanya ditumpukan untuk terus mendapat apa yang diingini. Orang tamak lupa tujuan sebenar amanah hidup di dunia ini. Mereka tidak peduli hal lain, melainkan mengisi segenap ruang memuaskan nafsu tamak.

Sesungguhnya Allah mencipta manusia sebagai khalifah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali supaya mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, ayat 56).

Ironinya, orang tamak tidak pernah berasakan dirinya sebagai hamba-Nya. Sebaliknya, mereka menjadi hamba kepada dunia dan bertuhankan nafsu. Mereka mempertaruhkan seluruh usaha dan minda untuk mengejar bayang kemewahan dunia.

Sebab itu, orang tamak biasanya takutkan mati. Mereka cintakan dunia dan sentiasa mengejar kemewahan hidup. Kematian hanya akan menyebabkan apa yang dimiliki terpaksa ditinggalkan menjadi habuan orang yang masih hidup.

Jadi, biarpun diketahui hari kiamat (kematian) semakin hampir, mereka yang tamak masih berusaha menambahkan apa yang diingini. Ketika itulah antara masa paling dinantikan syaitan untuk terus menyesatkan manusia dan meninggal dalam keadaan tidak beriman.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Hari kiamat telah hampir dan manusia masih lagi bertambah tamak kepada dunia dan bertambah jauh daripada Allah.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).

Sebenarnya orang tamak selalu rugi. Sifat tidak bersyukur dan tidak puas dengan apa diperoleh, menyeabkan hidup makin tekanan. Perasaan tidak puas atau tidak cukup dengan apa yang dimiliki adalah satu penyakit jiwa yang boleh menyebabkan seseorang hilang kawalan hidup.

Bidalan Melayu menyamakan sifat orang tamak seperti anjing dengan bayang-bayang, melepaskan seketul daging di mulutnya kerana inginkan daging yang lebih besar. Sedangkan, daging besar itu hanyalah bayang-bayang di dalam air, daging yang sedang digigitnya sendiri.

Sesungguhnya harta itu ialah amanah Allah kepada seseorang. Harta hendaklah dicari dengan cara yang halal dan kemudian dibelanjakan pula ke jalan kebaikan. Orang yang memiliki harta menunjukkan rasa bersyukur dengan cara mengeluarkan zakat dan bersedekah.

Tamak lahir daripada sikap tidak bersyukur. Orang tamak ingin memperoleh lebih daripada itu dan melakukan apa saja tanpa memikirkan akibatnya.

Individu beriman tidak mudah menerima menerima bulat-bulat tawaran kemewahan hidup, melainkan melalui cara yang dipastikan halal. Sikap mengikut hawa nafsu membawa kepada kebinasaan. Nafsu dikuasai syaitan tidak mungkin mendatangkan kebaikan.

INTI PATI
Mencari harta adalah ibadah

* Islam menggalakkan umatnya mencari harta dan kedudukan dalam masyarakat dengan ikhlas.
* Orang tamak lupa tujuan sebenar amanah hidup di dunia.
* Harta adalah amanah Allah kepada seseorang yang sepatutnya dibelanjakan ke jalan kebaikan.
* Keharmonian, kerukunan

-
end 12 ogos 2014, fb azam sahar
-
*Pihak Drama Raja TIDAK akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang menyakiti mana-mana individu atau badan berorganisasi. Kepada para pembaca, diharapkan agar anda dapat memberikan komentar dengan baik dan tidak menggunakan kata-kata kesat. Segala kerjasama anda amatlah kami hargai demi menjaga kemurnian akhlak dan keharmonian blog ini. Sekian. -admin-

0 Response to "Sifat Tamak Manusia"

Post a Comment