Aniaya Anak Yatim


Aniaya Anak Yatim | Johor Bahru: “Sejak dapat tahu dan sepanjang perjalanan, mereka sangat gembira dan beriya-iya mahu berbuka puasa dan tinggal di hotel. Apabila tiba di sini dan berasakan diperdaya, ada antara mereka menangis kerana kecewa.

“Saya tidak tahu apa salah anak yatim dan anak dari keluarga kurang berkemampuan hingga ada pihak tertentu sanggup menganiaya mereka Ramadan ini,” kata Amirah Ariffin, 47, semalam.Amirah antara lapan pengiring peserta rombongan yang menempuhi perjalanan sejauh 354 kilometer bagi menyertai majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa di Hotel Berjaya Waterfront di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut di sini, kelmarin.

Menurutnya, 75 peserta rombongan berusia lima hingga 18 tahun terdiri daripada anak yatim dan anak keluarga kurang berkemampuan dari Kampung Batu 11, Jalan Pahang Lama, Gombak di Selangor.Katanya, rombongan diaturkan pengurusan Surau Silaturrahim di kampung itu selepas menerima jemputan lelaki mengaku urusetia majlis meraikan anak yatim dan kurang berkemampuan di hotel berkenaan.

“Lelaki bergelar Faiz menghubungi saya Isnin lalu (21 Julai) meminta kerjasama mengumpul 75 anak dari
keluarga miskin dan anak yatim untuk dibawa ke Johor Bahru di mana majlis itu dikatakan bakal diadakan pada 23 Julai (kelmarin).“Saya dan sukarelawan surau bersyukur lelaki itu menyatakan niat murni pengurusan hotel menaja kemudahan pengangkutan, penginapan dan makanan,” katanya.

Amirah berkata, dia yakin terhadap lelaki itu kerana menyatakan pernah bertemu lima tahun lalu ketika dia bekerja di sekolah pondok di Gombak.“Saya juga tidak mencurigainya kerana memanggil saya menggunakan nama timangan iaitu Makmi.

“Kali terakhir kami menghubungi Faiz ketika dalam perjalanan iaitu jam 11 pagi kelmarin dan kami pelik kerana selepas dua jam, dia mematikan telefon.“Sebaik tiba di lobi hotel pada 2.30 petang, saya dimaklumkan tiada tempahan bilik hotel atau penganjuran majlis.

“Kami buntu kerana tidak memiliki sumber kewangan menguruskan penginapan dan makanan peserta hingga terpaksa memaklumkan kejadian kepada pihak hotel dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya yang bertolak pulang ke Gombak jam 12 tengah hari, semalam.

Sementara itu, seorang peserta rombongan, Muhammad Hishamuddin, 17, berkata, dia dan rakannya tidak menyangka diperdaya pihak tertentu.

“Ini kali pertama saya menjejak kaki ke hotel. Saya berterima kasih kerana pengurusan hotel bersimpati dengan nasib kami dan menawarkan penginapan sehari, makanan serta kemudahan bas untuk pulang,” katanya.

Seorang lagi peserta rombongan, Anis Atika, 8, berkata, dia dan rakan memang berminat menyertai majlis berkenaan selepas menerima kebenaran ibu bapanya.

“Malam tadi (kelmarin) saya dan rakan berbuka di hotel dan ia kali pertama kami mendapat peluang begini,” katanya.


-
end 12 ogos 2014, fb azam sahar
-
*Pihak Drama Raja TIDAK akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang menyakiti mana-mana individu atau badan berorganisasi. Kepada para pembaca, diharapkan agar anda dapat memberikan komentar dengan baik dan tidak menggunakan kata-kata kesat. Segala kerjasama anda amatlah kami hargai demi menjaga kemurnian akhlak dan keharmonian blog ini. Sekian. -admin-

0 Response to "Aniaya Anak Yatim"

Post a Comment