Boleh Ternampak Makhluk Halus (Kisah Seram)


Boleh Ternampak Makhluk Halus (Kisah Seram) | Di sini saya ingin berkongsi cerita seorang kawan yang menceritakan kisah dia ternampak makhlus halus. mari kita sama2 baca kisah si dia.

Kisah pertama:

Rumah yang saya diami sekarang ini semasa saya masih kecil sehinggalah berusia 10 tahun sering menerima gangguan. Ada beberapa pakar mengatakan rumah saya ini keras, ada yang ingin menumpang. Berbalik kepada cerita saya, waktu itu saya baru berumur 8 tahun, pernah satu malam keluarga bercadang untuk pergi makan malam di restoran tempat abang saya bekerja dan ingin meninggalkan saya yang sedang tidur. Tetapi entah bagaimana mungkin dengan kuasa Tuhan, saya seperti dibangunkan dari tidur dan ayah pula rasa malas sekali ingin memandu pada malam itu. Jadi ibu menelefon abang dan hanya memesan makanan sahaja untuk dihantar ke rumah.

Sedang kami sekeluarga menonton televisyen sambil menunggu abang menghantar makanan, tiba-tiba sahaja kakak menegur ibu. Kakak memberitahu yang dia ternampak kepulan asap seperti kepala manusia keluar dari kepala ibu. Pada waktu itu memang saya rasa lain macam. Tapi kami sekeluarga diamkan sahaja aduan kakak itu kerana kami memang sedia maklum sebelum ini pun ibu kerap kali diganggu, kadangkala apabila kanak-kanak datang mengaji ke rumah (ayah saya seorang imam dan juga guru mengaji), ibu pasti menyuruh mereka memperlahankan suara kerana ibu kata bising sangat, bingit telinga.

Ibu orang yang paling kerap melihat benda-benda halus dalam rumah kami. Yang ibu selalu lihat ialah wanita tua yang bongkok, bertudung dan berbaju kurung, dan sering melintasi rumah kami. Kakak pula selalu melihat wanita berambut panjang menyerupai ibu, sedangkan ibu berambut pendek. Wanita itu sering melihat kami semua sebelum tidur. Sangkaan kakak ibu ingin melihat anak-anaknya nyenyak tidur.

Berbalik kepada kisah saya, pada malam itu setelah selesai makan, kami pun masuk tidur. Sewaktu baru terlelap, saya terasa seperti ada seseorang menarik-narik rambut saya. Saya sangkakan adik saya, saya menepis tangannya. Kejadian itu berlaku berkali-kali sehinggalah saya terasa seperti ada sesuatu yang mengejutkan saya. Apabila saya bukakan mata, telinga saya terasa begitu berdesing sekali, dan alangkah terkejutnya saya apabila ternampak seseorang berbaju putih, berambut kusut masai sedang duduk mencangkung di hujung kaki adik saya dan saya pasti itu ×Cik Kak yang sering ibu mimpi.

Menurut ibu, ×Cik Kak itu seperti menjaga beberapa anak kecil dan kawasan laman rumah kami. Kawasan laman rumah kami merupakan tempat mereka bermain-main, terdapan buaian dan jongkang-jongket serta taman bunga. Tiba-tiba sahaja benda itu menarik saya ke arah mukanya dan berkata dengan suara yang amat garau sekali, “TOLONG JANGAN BERITAHU SESIAPAPUN YANG KAU JUMPA DENGAN AKU!!!“. Kemudian dia menghempas saya semula ke atas katil. Takutnya saya waktu itu hanya Tuhan yang tahu. Saya cuba mengejutkan adik dan kakak saya beberapa kali tetapi suara saya seperti dikunci. Mereka pula seperti dipukau. Saya cuba beberapa kali menggerakkan adik namun tidak berjaya, dia hanya tidur dengan terlalu lena. Cik Kak itu beberapa kali bermain2 dengan rambut saya dan memukul-mukul peha saya.

Tidak berapa lama kemudian desingan di telinga saya semakin hilang. Saya cuba sekali lagi mengejut kakak saya dari lenanya dan ALHAMDULILLAH dia tersedar. Dalam keadaan menangis saya ceritakan padanya apa yang saya lihat dan pada waktu itu tepat pukul 3 pagi, abang saya yang bekerja di restoran pulang dari kerja. Kakak terus memanggil ibu, ayah dan abang saya dan suruh saya ceritakan apa yang terjadi. Abang saya memberitahu bahawa sepanjang dia berjalan kaki dari simpang untuk memasuki rumah kami, dia terasa seperti ada sesuatu yang mengekorinya.

Baru kami tersedar yang malam itu malam Jumaat. Setiap ahli keluarga saya mengalami gangguan sehinggalah seorang pakar membantu kami mengusir makhluk-makhluk itu dari rumah. Katanya makhluk itu ingin tinggal di kawasan rumah kami bersama tetapi kerana keluarga kami kuat agama dan ayah pula mengajar ngaji, benda itu jadi marah dan ingin menghalau kami pula.


Kisah Kedua:

Baru-baru ini sahaja kejadian ini berlaku. Untuk pengetahuan semua, semenjak saya terlihat ×Cik Kak itu mata saya sudah mula boleh melihat benda-benda halus. Pernah saya ternampak abang saya menyuap makanan ke mulut seorang kanak-kanak, saya sangkakan anaknya tetapi sebaliknya saya lihat anaknya sedang tidur dan saya lihat sekali lagi ke arah abang, abang hanya duduk sahaja sambil membaca majalah.

Keesokan harinya saya demam panas. Pernah juga saya ternampak kelibat kanak-kanak bermain-main di dalam rumah. Ibu saya terlihat saya duduk dan tidur bersama seorang kanak-kanak perempuan berbaju merah. Oleh kerana ibu faham akan kehadiran makhluk itu, ibu telah berdoa dan menghalaunya dari mendekati saya. Ibu kata kanak-kanak itu ada 3 beradik, 2 perempuan dan 1 lelaki.

Berbalik kepada kisah saya, baru-baru ini saya terlihat rakan sekerja saya hadir ke kerja memasuki ke bilik tempat kami menyimpan beg dengan muka yang marah sekali. Sangkaan saya dia letih kerana semalamnya dia bekerja sebelah malam dan terpaksa bekerja di sebelah pagi pula. Dalam sekitar 10 minit selepas itu, penyelia saya bertanya, “Ida dah masuk kerja???” Saya menjawab, “Ya, dia pergi makan agaknya.” Sebab penyelia saya kata tak nampak kelibatnya.

Tiba-tiba sahaja kawan saya muncul sekali lagi, berpakaian seragam hotel dan menegur kami dengan wajah ceria. Saya dan penyelia tercengang, berkali-kali dia bertanya sama ada betul atau tidak saya nampak rakan saya sudah masuk kerja dan saya berkali-kali mengakuinya. Memang SUMPAH waktu itu saya nampak dia masuk kerja. Tapi dia hanya gunakan seragam putih sahaja. Berderau darah saya waktu itu, merinding satu badan.

Itu sahaja kisah yang saya dapat kongsikan, banyak lagi kisah-kisah lain yang berlaki di rumah saya. Lebih-lebih lagi semenjak saya berkebolehan melihat dan mengesan benda-benda halus ini.

-
end 12 ogos 2014, fb azam sahar
-
*Pihak Drama Raja TIDAK akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang menyakiti mana-mana individu atau badan berorganisasi. Kepada para pembaca, diharapkan agar anda dapat memberikan komentar dengan baik dan tidak menggunakan kata-kata kesat. Segala kerjasama anda amatlah kami hargai demi menjaga kemurnian akhlak dan keharmonian blog ini. Sekian. -admin-

0 Response to "Boleh Ternampak Makhluk Halus (Kisah Seram)"

Post a Comment